Sunday, November 15, 2009

GAJI ANWAR RM 1, KHALID BERMAIN DENGAN STRATEGI

Anwar dilantik sebagai penasihat ekonomi Selangor dengan dibayar gaji RM 1 sebulan. Perlantikan tersebut adalah usaha terbaru Khalid untuk memberikan keyakinan kepada masyarakat, khususnya pengundi bahawa Anwar merupakan penasihat ekonomi terbaik dalam dua faktor. Pertama, tidak menagih upah yang tinggi dan kedua, Anwar dilihat sanggup menggunakan kepakarannya walaupun upah tidak setimpal dengan pengalaman dan keupayaannya.

Dengan hanya sekali berfikir, ia memberikan sedikit keraguan apakah Anwar tidak akan menggunakan kedudukannya itu untuk mendapatkan sesuatu yang besar sepanjang khidmatnya sebagai pakar ekonomi negeri Selangor? Apakah Anwar ikhlas dalam perjuangannya untuk mencergaskan kembali ekonomi negeri maju itu yang sedang mengalami kemuncup pertumbuhan apabila terpaksa memanjangkan masa operasi pusat-pusat hiburan bagi kemudahan para pelancong?

Dengan berfikir beberapa kali, tersembul juga beberapa pertanyaan lain mengenai PKR yang sedang dilanda masalah kepimpinan sedang memindahkan kerawanan pemikiran pengundi melalui bidang kepakaran tertentu yang dimilik Anwar. Dengan cara perlantikan tersebut, pengundi akan terlupa bahawa PKR sedang menghadapi masalah kepimpinan. Anwar kembali menjadi hero yang akan membantu ekonomi Selangor berkembang maju.

Pertanyaan lain, benarkah Anwar mempunyai kepakaran sehingga boleh dianggap sebagai mempunyai sentuhan midas (midas touch) yang pernah popular suatu ketika dahulu? Apakah lampu ajaib yang akan dinyalakan oleh Anwar bagi melonjak kembali ekonomi Selangor untuk terus menampung keperluan kewangan yang semakin tinggi dan seterusnya memenuhi suntikan baru, kerana masih banyak menifestonya belum terlaksana.

Pilihan raya umum semakin dekat, walaupun masih berbaki lebih tiga tahun. Ia perlu disusun sekarang, kerana PKR tidak boleh lagi bermain dengan retorik sebagaimana sebelum berkuasa. Rakyat sudah boleh menilai, kuasa sudah diberikan. Perhatian sekarang tertumpu bagaimana Selangor kalau tidak boleh melepasi zaman pertumbuhan dalam pentadbiran BN dahulu, sekurang-kurangnya setanding.

Rakyat sudah tahu dan boleh melihat apa yang berlaku di Selangor. Tidak ada projek baru yang dilaksanakan oleh PKR, yang ada hanya projek-projek di bawah Kerajaan Persekutuan. Yang masih menjadi masalah di Selangor ialah semakin meningkat rasa tidak senang rakyat terhadap Kerajaan Negeri apabila satu persatu dasar dan tindakan dilihat semakin terhimpit dan terdesak.

Paling menyesakkan orang Islam ialah apabila melanjutkan masa operasi pusat hiburan. Sudah lebih sebulan kebenaran menjual arak di kawasan majoriti orang Melayu yang pernah menimbulkan kontroversi, masih belum dinilai sepenuhnya lagi. Apakah ianya berkesan untuk menyekat orang Melayu dari membeli minum tersebut. Adakah kerajaan negeri sedia memberikan perangkaan berapa jumlah liter telah terjual, dan siapakah yang membelinya?

Tidak ada yang hairannya apabila Anwar dibayar gaji RM 1, kerana yang lebih penting bagi beliau ialah "mahu menunjukkan keikhlasannya melakukan kerja-kerja tersebut." Jika tidak diberikan gaji sebanyak itu, Anwar memangnya ingin sangat dilantik sebagai penasihat ekonomi kerana tujuannya untuk memperlekeh-lekehkan kebolehan orang lain. Beliau ingin terus dilihat sebagai seorang pakar dan benar-benar jantan dalam sejarah politik tanah air. Bukankah perkara yang sama pernah diperkatakan oleh beliau kononnya telah banyak membantu menaikkan ekonomi Melayu semasa menjadi Menteri Kewangan?

Anwar pernah kata, masanya banayk digunakan untuk membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu semasa dalam Kerajaan? Benarkah? Tapi, dia lupa itu merupakan tindakan semua menteri kabinet kerana kerajaan mempunyai dasar sedemikian pada masa itu. Tetapi, dasar Anwar kini berlainan kerana DEB telah dilihat sebagai perkauman dan tidak memberikan peluang "sama rata dan sama rasa."

Tidaklah kita mahir dengan congakan politik Anwar, kerana dia bijak menggunakan angka sekerat. Dia boleh melantunkam pelbagai hujahan dan tafsiran, tetapi secara mendalamnya tidak diberikan butiran lanjut, termasuk cuba mengemukakan belanjawan 2010nya sebagai reaksi menolak bajet 2010 yang dibentangkan oleh Dato' Sri Najib.

Apakah lojiknya Anwar bentangkan bajet kerana beliau bukan lagi Menteri Kewangan. Kalau bajet untuk PKR boleh lah kita terima, tapi katanya bajet untuk Kerajaan Pakatan Rakyat. Mana ada kerajaan Pakatan Rakyat. Yang ada hanyalah kerajaan negeri dan persekutuan. Pakatan Rakyat masih lagi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. 16 September dah berlalu, PKR masih tetap celaru. Pemimpinnya semakin ramai tak tahan bau, kerana bateri 3A tidak lagi mampu menggerakkan alat permainan elektronik anak-anal di rumah.

Azmin Ali masih belum menjawab dakwaan membeli saham atas nama dirinya, isteri dan iparnya berjumlah RM 8.5 juta. Yang dia buat hanyalah penafian, tetapi masih belum jelas transaksi tersebut benar-benar berlaku atau tidak. Seharusnya Azmin menjadi lebih berani, sekurang-kurangnya membuat laporan agar disiasat.

Azmin turut mengundang ingatan masyarakat terhadap apa yang pernah didakwa oleh adiknya sendiri suatu ketika dahulu. Pola perbelanjaannya yang mewah, turut membangkitkan rasa ingin tahu, untuk terus mencari dari mana punca beliau memperolehi wang yang banyak. Ada orang bertanya benarkah Azmin itu mewarisi wang yang banyak? Atau hanyalah seperti kebanyakan orang, memperoleh banyak wang apabila menjadikan politik sebagai lubuk rezeki? Kita tidak tahu, itu hanyalah antara persoalan yang bermain dalam fikiran banyak orang.