Thursday, October 22, 2009

PAS MASIH BELUM MENGAKUI KEKALAHAN DI BAGAN PINANG

Tabiat haloba PAS semakin menjadi-jadi apabila mempersoalkan mengenai undi pos yang didakwanya tidak berpihak kepada calonnya dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu.

Disebabkan oleh sifat halobanya itulah PAS telah membuat aduan kepada Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) agar membuat ketetapan dan menyiasat mengenai 9 kesalahan yang berlaku dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia sewaktu mengendalikan proses pilihan raya tersebut.

Menurut dakwaan Ketua Pemuda PAS, Nasharudin Hassan jika aduannya kepada SUHAKAM tidak mendatangkan sebarang hasil akan dipanjangkan ke peringkat antarabangsa dengan mengambil semangat kejayaan lawan Hamid Karzai di Afghanistan yang memperoleh kejayaan membatalkan keputusan pilihan raya negara tersebut.

Pemimpin PAS nampaknya tidak mahu menerima malu kerana apabila Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan tewas dengan majoriti 5,345 undi kepada Tan Sri Isa Samad yang telah sebati dengan masyarakat dan pengundi DUN Bagan Pinang.

PAS tidak mahu menerima hakikat, jika tidak mengambilkira jumlah pengundi pos, keputusannya jelas menunjukkan parti tersebut tewas di semua 8 peti undi yang meliputi 18 saluran.

Daripada sejumlah 4,611 orang pengundi pos, 4,571 adalah anggota tentera dan 31 adalah anggota polis dan orang awam. Secara keseluruhannya, lebih 82 peratus dari keseluruhan pengundi seramai 13,664 keluar mengundi dengan mencatatkan bahawa BN mendapat 8,013 undi manakala PAS hanya mampu memperoleh 2,578 undi.

Berdasarkan rekod keputusan pilihan raya tersebut, BN telah pun mengatasi undi yang diperoleh oleh calon PAS , tetapi nampaknya akibat kekalahan dengan majoriti yang berganda berbanding keputusan pilihan raya umum 2008 menjadikan parti itu kebingungan memikirkan kelemahan sendiri.

Sebelum hari pengundian, PAS telah cuba menggunakan mahkamah bagi membatalkan ketetapan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia berhubung dengan jumlah pengundi pos yang ramai dengan mendakwa ada pertindihan kerana sebahagiannya telah pun bersara daripada tentera dan anggota polis. Mereka tidak lagi wajar dimasukkan dalam senarai pengundi pos.

Atas kegagalannya itu, PAS sekali lagi cuba “memahatkan bunyi setelah rumah baru seminggu siap” tetapi berdiam diri apabila menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir tanpa menghiraukan aduan UMNO supaya disemak semula daftar pemilih yang sengaja dilakukan oleh parti itu. PAS telah mendaftarkan pengundi yang bukan penghuni Permatang Pasir sehingga menyebabkan ada pengundi yang menggunakan alamat rumah orang lain.

Lebih malang lagi, ahli PAS menggunakan alamat rumah bukan Melayu dan alamat yang sama mempunyai pemilih bertindih dari kumpulan kaum yang berlainan. Apa yang dilakukan oleh PAS itu nampaknya telah diterima dengan jelas, tetapi kesahihan senarai pemilih di Bagan Pinang menjadi persoalan yang besar.

Sikap PAS yang takut untuk mengakui kekalahan dan kelemahan itulah akhirnya menjadi senjata tajam menghalalkan ketamakan kuasanya. Dalam pilihan raya Kuala Terengganu, PAS terang-terang membangkitkan mengenai wujudnya pengundi hantu dan marahkan Suruhanjaya Pilihanraya membuka pejabatnya sehingga lewat malam bagi membersihkan data pengundi dengan Jabatan Pedaftaran Negeri Terengganu.

Suruhanjaya Piilihanraya Terengganu berbuat demikian bagi memudahkan pengundi membuat semakan langsung, dan bukannya bersengkongkol untuk memanipulasikan pengundi. Tetapi, apabila keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu berpihak kepada PAS, suara-suara sumbang untuk “memahatkan” keputusan tersebut tidak kedengaran langsung, malah berbangga besar di atas pencapaian tersebut.

Pada malam kemenangan diisytiharkan, seluruh Bandar Kuala Terengganu menjadi pesta perarakan motosikal semacam berlakunya perarakan mat rempit mengibarkan bendera PAS. Bergegar dengan deruman enjin motosikal, tanpa rasa bersalah mereka berteriak bahawa parti itu mampu menopang cita-cita Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan seterusnya menawan Putrajaya. Semangat itu terus berkumandang dengan kesombongan kata-kata sehinggalah tewas dalam pergelutan memburu “peserta lawatan sambil belajar” ke Taiwan dan melupakan hasrat apabila Dato’ Sri Najib dengan rasminya menangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009.

Menurut kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizat Kaiat adalah tidak munasabah parti itu gagal mendapat sebarang undi di saluran 14, 15 dan 16 yang hampir melibatkan 900 pengundi. BN mendapat 881 dan ini tentunya boleh dijawab dengan mudah menggunakan lojik yang rendah, calon PAS memang tidak diterima oleh pengundi, walaupun mereka adalah bakal pesara.

Bakal pesara yang dikenalpasti itu lebih mengenali perjuangan UMNO daripada PAS yang terlalu banyak mempersoalkan akidah tetapi sebenarnya mencelarukan penyokong dan orang Islam sendiri. Mereka sedar bahawa tema kempen PAS tidak boleh membawa mereka ke syurga, kerana syurga dikhaskan untuk orang-orang yang bertakwa dan beriman, bukannya khusus milik penyokong parti tersebut.

Bakal pesara juga sedar bahawa mengundi calon PAS akan membawa mereka ke mana sebaliknya menjadikan seluruh budaya hidup penuh dengan pembohongan dan penafian kebaikan orang lain. Sikap PAS yang tidak pernah menghormati dan menghargai kebaikan orang lain, tetapi amat fanatik dengan kemaksuman pemimpinnya sendiri walaupun diketahui salah dan terkeluar dari perjuangan asal.

Apakah benar terdapat bukti ada sepasang suami isteri (pengundi pos) telah diberikan kertas undi pada jam 7.30 malam berdekatan dengan sebuah pasar mini di Telok Kemang? Jika benar, buktikanlah ia kertas undi sebenar bukannya kertas undi palsu sebagaimana dilakukan oleh kumpulan penyokong parti itu yang menggunakan wang palsu atas nama sumbangan BN bagi menggambarkan parti lawan tidak jujur?

Kalau benar boleh buktikan “kertas undi sebenar”, apa yang terjadi dengan kertas undi pos tersebut? Adakah “kertas undi” itu dipulangkan? Sila buktikan dengan jelas, bukan hanya sekadar membuat tuduhan sebagaimana pernah dilakukan oleh Sallehudin Ayub terhadap pertindihan senarai pemilih.

Pun begitu, PAS haruslah bertanggungjawab bahawa setiap dakwaannya sebagai benar-benar berlaku bukan seperti sebaran menerusi online terhadap seseorang yang ditetak dengan parang, tapi bajunya sahaja yang terkoyak. Apabila pihak polis meminta bukti dan orang yang kena tetak itu membuat laporan, hingga kini masih membisu? Kenapa? Adakah kerana sedar itu hanyalah satu bentuk propaganda atau churnalism yang menjadi mauduk laporan akhbar Harakah?

PAS akan mempunyai sifat yang mulia dan dihormati sekiranya berani menyatakan kebenaran, termasuk mengakui kelemahan parti itu sendiri menyebabkan tewas di Bagan Pinang. PAS mesti sedar kekuatan sebenar yang menentukan kemenangan BN di Bagan Pinang ialah personaliti calon menjadi faktor dominan.

Pengundi Bagan Pinang tahu bahawa calon PAS adalah bukan berasal dari kawasan tersebut, malah sudah tiga kali ditolak oleh pengundi di kampong asalnya. Dia juga tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam pertubuhan itu di peringkat cawangan, hanya dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS, dia bukanlah pemimpin akar umbi.

Maka PAS tidaklah perlu menyalak, kerana bukit tidak akan runtuh. PAS bermuhasabah diri, bahawa pengaruhnya tidaklah seberapa di Negeri Sembilan, dan semua orang tahu terlalu banyak bermain syllogism dan retorik agama untuk kepentingan diri.

Tuesday, October 13, 2009

UBAT KUAT LELAKI DAN PERHIMPUNAN UMNO

UBAT KUAT LELAKI DAN PERHIMPUNAN UMNO

Perhimpunan Agong UMNO bukan sahaja menjadi medan untuk membolehkan ahli parti berbahas dan berbincang bagi menentukan arah tuju masa depan parti, tetapi turut menarik perhatian para perwakilan dan pemerhati untuk menjamu mata serta membeli-belah.
Pihak pengendali gerai, dari ubat kuat untuk lelaki hinggalah ke pakaian eksklusif seperti batik dan baju lengan pendek dari kain linen, berebut-rebut mempromosikan barangan mereka dengan pelbagai cara.
Ada yang menawarkan harga runtuh dan memasang gadis rupawan memikat pelanggan agar membeli barangan tersebut. Yang lebih menggelikan hati ialah apabila seorang gadis menceritakan mengenai kehebatan ubat kuat lelaki dengan mengatakan dapat menjamin keintiman hubungan suami isteri.
Seakan tersenyum sinis, gadis tersebut tidak menjawab pertanyaan saya mengenai pengalamannya menggunakan ubat tersebut.
Saya hanya sekadar ingin mendapat maklumat lengkap mengenai kemujaraban ubat tersebut, apakah ia hanyalah sekadar gimik pasaran dan memerangkan lelaki yang bernafsu besar tetapi tidak mempunyai keupayaan.
Itulah antara sikap sebahagian daripada kita, sering membayangkan sesuatu yang berbau seks apabila bercakap apatah lagi melihat kepada gelagat sebahagian perwakilan mempamerkan keanggunan diri.
Baik puteri ataupun wanita, pakaiannya bukan sahaja melambangkan penyatuan semangat dan perjuangan, turut mempamerkan bentuk badan yang menggoda mata setiap lelaki. Maka itulah gerai-gerai yang menjual ubat kuat sama ada berasaskan madu lebah, tongkat ali, ginseng hatta viagra banyak mendapat perhatian kaum lelaki.
Lelaki tidak mahu mengalah dalam hal itu kerana masih menganggap dirinyalah yang terhebat. Wanita juga tidak kurang ghairah mempamerkan susuk tubuh dengan memakai baju ketat bagi menunjukkan sesuatu yang unik anugerah Illahi, termasuk mengenakan tempelan make-up dalam pelbagai kreativiti.
Kalaulah itu perjuangan lelaki dan wanita, walaupun dianggap sebagai sampingan, tentunya kekuatan parti akan terus menjadi persoalan. Tetapi, apabila berbahas, masing-masing berfikir dan mengeluarkan kenyataan penuh semangat “ “UMNO mesti dikembalikan kekuatannya, kerana UMNOlah tunjang dan kekuatan politik Melayu.”
Maka berkatalah Ketua Pergerakan Puteri bahawa budaya “gunting dalam lipatan” perlu disingkirkan jauh-jauh jika mahukan UMNO kembali mendapat perhatian dan sokongan orang muda. Ahli pergerakan itu mestilah tidak mementingkan diri dan menyingkirkan anggapan bahawa UMNO itu sebuah parti eksklusif dan dilihat elit.
Seharusnya ahli Pergerakan Puteri perlu segera melemparkan jauh budaya mempamerkan kehebatan diri, termasuk mempamerkan jajaran kosmetik yang dipakai sepanjang perhimpunan. Jika tidak, sama ada pergerakan pemuda, puteri dan semua ahli UMNO tidak ubah seperti penjual ubat kuat, yang hanya mampu menceritakan kehebatannya sahaja tetapi sebenarnya, ubat tersebut tidak pernah dicubanya sendiri.

Sunday, October 4, 2009

MARI KITA RENUNGKAN MUSIBAH YANG MELANDA

Memikirkan tentang musibah yang melanda Indonesia, kepulauan Samoa, Filipina dan Vietnam seminggu lalu menyebabkan kita semakin rasa kebesaran nikmat Allah SWT. Kita bersyukur kerana negara kita tidak berlaku musibah yang menyebabkan trauma sebagaimana pernah berlaku pada 26 Disember 2004 di negeri-negeri utara di Semenanjung atau Taufan Greg yang melanda Sabah sedikit masa dulu tatkala sedang menyambut Hari Natal.

Musibah yang melanda Jambi dan Padang cukup memberikan kita banyak penyesalan. Berdasarkan luahan beberapa orang pelajar kita yang berhadapan dengan karenah pihak bekuasa Indonesia, termasuk pihak imigresen dan peniaga di sana, jelas menggambarkan rasa kemanusiaan mereka nampaknya semakin rabak. Tatkala sebahagian pelajar kita terkapai-kapai mencari perlindungan dan kelaparan, mereka menahan lukah. Meminta bayaran proses passport yang keterlaluan sehingga 100,000 rupiah hanyalah dengan menghentak rubber stamp. Menjual air minuman berlipat ganda sehingga 10,000 rupiah sebotol.

Tapi, nasib baik kita tidak banyak melatah apabila sebelum musibah itu berlaku pelajar kita mengalami ketakutan yang bukan sedikit. Kumpulan yang memperjuangkan sentimen marahkan Malaysia kerana mengambil artifek budaya mereka, mengadakan sekatan dan sweeping di Jakarta. Sebelum itu, beberapa pihak termasuk media Indonesia menyebarkan sentimen kemarahan mengenai pencerobohan Malaysia ke atas Pulau Ambalat yang kaya dengan minyak dan gas.

Pendeknya hampir setiap masa ada sahaja perkara yang tidak harmoni antara Malaysia dengan Indonesia. Dari gaji pembantu rumah hinggalah kepada pengisytiharan batik sebagai hak tradisi Indonesia, dan kerana musibah yang melanda menyebabkan upacara menyambut pengisytiharan batik pada 2 Oktober 2009 tidak segera heboh. Mungkin telah dilakukan, tetapi tidak mendapat publisiti meluas berbanding tragedi yang menyebabkan lebih 1000 orang dikhuatiri terbunuh dan tertimbus, lebih 11,000 buah bangunan ranap dan 3 buah kampung luput dalam peta baru Indonesia, khususny Sumatera Barat.

Tahun 2004 adalah tahun yang menyebabkan Aceh menjadi berduka kerana dilanda Tsunami. Ribuan rakyatnya terkorban, dan berlakunya tragedi tersebut semacam tidak lagi kedengaran gerakan pembebasan Aceh melebarkan sayapnya. Mungkin penduduk yang masih trauma kerana kehilangan sanak saudara, harta benda dan sebagainya tidak lagi cuba menimbulkan pelbagai tuntutan. Mereka akan membina kehidupan baru yang lebih harmoni, dan melupakan sengketa.

TApi perkara ini mungkin tidak berlaku di Sodiarjo walaupun lebih 16 buah kampung tenggelam oleh banjir lumpur. Walaupun telah berlaku sejak tahun 2004, banjir lumpur itu masih belum menunjukkan akan berkakhir, dan lumpur masih membuak-buak. Sodiarjo menjadi tumpuan baru pelancongan, namun yang lebih menyedihkan apabila ada beberapa orang yang cuba membentangkan falsafah kebendaannya. Ada juga yang turut membuka tumpuan menjual dan menjaja angan-angan mendapat nombor bertuah, kerana bermimpi mendapat nombor.

Yang memberikan saya sedikit kelegaan ialah apabila semakin ramai dan banyak pihak di Malaysia menghulurkan simpati. Pihak kerajaan terus menyusun bantuan termasuk tiga pasukan :pencari dan penyelamat, para medik, dan lain-lain bagi membantu mangsa. Rakyat Malaysia, tanpa memikirkan rasa marah kerana diherdik, dicemoh dan dimarahi oleh segelintir rakyat Indonesia sedang giat mengumpulkan derma dan selepas ini, mungkin ada pernacngan untuk membantu membina rumah, sekolah dan sebagainya. Ini telah dilakukan ketika tsunami di Aceh.

Walau pun begitu, sesekali anak kecil turut melemparkan ingatan. Ketika di Kuala Lumpur Sentral, petang Khamis lalu, saya menjadi sedar betapa anak kecil yang berumur 6 tahun pun boleh mengomel. Dia mengomel apabila mendengar orang-orang dewasa bercakap mengenai tragedi di Jambi dan Padang, antaranya masing-masing menunjukkan gambar yang tersiar dalam akhbar tempatan.

Afiq, turut merasa simpati dan sedih mengenai tragedi itu. Sambil membisikkan kata-kata kesian, Afiq sesekali turut melahirkan rasa kesal kerana rakyat Indonesia tidak pernah bersimpati dengan Malaysia. Saya tidak dapat memindahkan cakap-cakapnya itu, tetapi hanyalah sekadar menyatakan kembali apa yang dirasai oleh Afiq. Afiq turut marah dengan sikap tidak rasional apabila ada kumpulan yang sweeping rakyat Malaysia.

Saya hanyalah berfikir, bagaimana Afiq boleh membuat penilaian sebegitu rupa. Afiq, pernah menonton siaran berita yang menggambarkan visual tersebut, dan melihatnya melalui akhbar. Afiq juga pernah mendengar, malah selalu diingatkan oleh guru tadikanya supaya berkelakuan baik sepanjang masa.

Menurut Afiq lagi, ustaz pernah mengajar bahawa Allah SWT akan membalas setiap kejahatan yang manusia lakukan. Allah SWT akan membalas bukan sahaja kepada orang yang melakukan kesalahan tersebut, seluruh masyarakat akan turut menerima hukumannya. Berdasarkan penjelasan Afiq itu, saya teringat apa yang pernah dikatakan oleh Mufti Perak apabila membincangkan mengenai Tragedi Highlands Towers beberapa tahun lalu. Ini bermakna, Afiq telah membina rangka rujukan dan pengetahuan peribadinya melalui pelbagai cara, dengan menonton, mendengar dan memerhatikan persekitaran. Dan, kerana itulah kita sebagai orang dewasa perlu menunjukkan teladan yang baik walaupun di depan anak kecil. Mereka akan memulangkan apa yang didengar, ditonton dan diperhatikan. Dan, ketika itu, mampukah kita menafikannya atau mematikan kata-katanya?