Thursday, June 18, 2009

MUAFAKAT MEMBAWA RAHMAT

Memberikan makna kepada konsep meritokrasi bukan bersandarkan kepada prinsip yang terlalu bebas. Berdasarkan pemahaman dan falsafah politik, tidak ada satu pun negara dalam dunia ini tidak meletakkan asas yang kukuh kepada struktur primordial sebagai salah satu kriteria meritokrasi secara wajib. Ia menjadi angkubah yang tidak mudah diubah, walaupun lain-lain kriteria boleh dilenyapkan. Cuma yang berlaku ialah pelenturan angkubah tersebut, jika rasional asalnya mencapai tahap yang ditetapkan.
Berdasarkan perspektif Singapura, meritokrasi dijadikan angkubah yang bebas menyebabkan berlakunya peminggiran terhadap orang-orang Melayu. Dalam sektor pendidikan dan politik misalnya, kajian Lily Zubaidah Rahim, Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu (K.Lumpur: ITNM, 2004 -terjemahan Yunus Ali) mendapati "...penghapusan sekolah aliran Melayu dan Tamil, setelah pendaftaran ke sekolah itu merosot pada tahun 1970-an mankala sekolah aliran Cina dihidupkan dan dipelihara, menggambarkan tanggapan pemimpin PAP bahawa nilai budaya orang Melayu (peribumi Asia Tenggara) dan orang India (Asia Selatan) tidak sepenting nilai budaya Konfusius Asia Timur untuk imbangan ekonomi dan budaya Singapura."(ms.213)
Berasaskan kepada sindiran kedaifan Melayu dan India dalam struktur budaya telah menyebabkan pemimpin-pemimpin PAP terus bertegas untuk memperluaskan konsep sekolah monoetnik. Bangkangan dan kritikan tidak diendahkan, dan hasilnya:
"... Kedudukan politik politik masyarakat Melayu yang lemah menjadikan kerajaan PAP kurang sensitif dengan keresahan Melayu tanpa risau akan kemerosotan undi dalam pilihan raya. Sebaliknya, dominasi bilangan dan undi masyarakat Cina serta semakin pentingnya ekonomi negara China telah membolehkan kerajaan PAP lebih sensitif terhadap keresahan masyarakat Cina." (m.s.319).
Itulah amalan meritokrasi yang dilaksanakan oleh kerajaan PAP di Singapura dan itu juga yang pernah diminta oleh Lee Kuan Yew melalui slogan Malaysian Malaysia dalam tahun-tahun 1960-an dahulu. JIka idealisme perjuangan Lee Kuan Yew itu diterima pakai dan tidak ditentang oleh orang Melayu, kedudukan Bumiputera tidak akan berada di tahap sekarang.
Berdasarkan slogan MalaysiaFirst yang dianjurkan oleh DAP selepas PAP gagal dengan Malaysian Malaysia, tidak banyak berbeza. Dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan tohmahan kononnya masyarakat bukan Bumiputera sebagai warganegara kelas kedua, mereka berjaya melonjakkan sokongan bukan Melayu. Kemuncaknya pada tahun 1969, DAP berjaya menguasai politik kawasan bandar yang majoriti pengundinya adalah Cina, terutamanya di Lembah Kinta, Lembah Kelang dan Pulau Pinang.
Pulau Pinang dikuasai oleh pembangkang, iaitu Gerakan yang sebahagian besarnya merupakan tokoh-tokoh politik MCA yang tidak berpuas hati dengan perjuangan dalam Perikatan. Lim Chong Eu kemudiannya sedar, jika meneruskan idealisme perjuangannya bersendirian Pulau Pinang tidak akan membangun kerana kekurangan sumber kewangan, apatah lagi setelah taraf pelabuhan bebas ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan pada awal tahun 1970-an.
Dr. Lim Chong Eu yang tidak bersetuju dengan dominan UMNO dalam Perikatan telah mencabar kepimpinan MCA dan bertanding sebagai jawatan Presiden pada bulan Mac 1958. Beliau telah berjaya menewaskan Tun Tan Cheng Lock (salah seorang pemimpin MCA yang terlibat dengan penggubalan manifesto Perikatan dan rundingan kemerdekaan bersama Tunku) dengan mendapat kelebihan undi sebanyak 20 (87, Tun Tan Cheng Lock mendapat 67 undi).
Dr. Lim yang dianggap sebagai radikal dalam memperjuangkan kepentingan Cina telah mendesak supaya "mengkaji semula apa yang telah dipersetujui oleh parti sewaktu menuntut kemerdekaan. Secara terselindung, mereka menuntut supaya dasar yang memberi hak istimewa kepada orang Melayu dikaji semula. Semua tuntutan ini sebenarnya mencabar supremasi UMNO ...Dalam surat yang dihantar pada Jun 1959 itu, selain meminta dasar-dasar bahasa dan pendidikan dikaji, MCA juga menuntut supaya parti itu diberi 40 kerusi pada pilihan raya....sewaktu rundingan diadakan, surat Dr. Lim itu dibocorkan kepada akhbar." (Lihat Chamil Wariya, Malaysia:50 Fakta Asas Kenegaraan, K.Lumpur: Matrix Media Global, 2007, m.s. 86 - 97).
Pada April 1962, Dr. Lim Chong Eu menubuhkan United Democratic Party (UDP) setelah meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA ekoran krisis pada tahun 1959. UDP yang dipimpin oleh Lim Chong Eu, Too Joon Hing berusaha memprojekkan perjuangan pelbagai kaum, namun menghadapi masalah kerana "its leaders found it difficult to carry through an inter-communal platform inasmuch as they knew their main supporters were Chinese" (Lihat James P. Ongkili, Nation-building in Malaysia 1946-1974, K. Lumpur, Oxford University Press, 1985, ms196).
Pilihan raya 1964, tidak banyak menjejaskan kedudukan apabila Perikatan menang 89, Pan-Malaysian Islamic Party (9), Parti Sosialis (2), People Progresive Party (2), UDP(1) dan PAP (1). Perjuangan PAP dari Singapura telah diteruskan oleh Devan Nair apabila memenangi kerusi Bangsar. Selain UDP, parti baru yang bertanding dalam pilihan raya tersebut ialah PAP bagi "to test it appeal among the Malayan electorate and to begin realizing its wish to replace MCA in the ruling Malayan Alliance."(James P. Ongkili, ms. 196)
Namun demikian, keputusan pilihan raya pada tahun 1964 dianggap lebih bersifatkan sebagai ujian untuk menentukan reaksi rakyat mengenai Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Perikatan dilihat sebagai sebuah parti "which could safeguard national integrity and that the difference between voting for it and voting for the other parties was in essence the difference between being loyal and being sypathetic to Indonesian aggression."(Lihat K.J.Ratnam dan R.S.Milne, Malaysian Parliamentary Election of 1964, Singapore, University Malaya Press, 1967, ms. 110-111).
Pada bulan Mac 1968, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ditubuhkan, antaranya oleh pemimpin buruh Dr. Tan Chee Koon dan V. Veerapan; Dr. Lim Chong Eu dari UDP; Prof Syed Hussein al-Attas, University of Singapore; dan Prof Wang Gungwu, Universiti Malaya.Dalam pilihan raya umum 1969, Gerakan gigih berkempen dengan memperlihatkan imejnya sebagai parti yang tidak bersifat perkauman. Manakala PAP, kemudiannya diwariskan kepada DAP (didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada Mac 1966), setelah Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, dipimpin oleh Devan Nair terus memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia.
Konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP telah menentang pembahagian warganegara kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera, dengan memproklamasikan "political democracy, social and economic democracy, and culture democracy" dengan menetapkan bahawa "All Malaysians must have an equal place under the Malaysian sun. Hence our plea for "a Malaysian Malaysia."
Hasil kempen agresif DAP pada tahun 1969 menyebabkan Perikatan memperolehi 66 kerusi (merosot sebanyak 23 berbanding PRU 1964) manakala DAP (PAP) meningkat kepada 13, PMIP 12 (1964 memenangi 9 kerusi parlimen), PPP menang 4 (1964 menang 2 kerusi) dan Gerakan menang 8 kerusi. Di peringkat negeri, Perikatan mampu memperoleh 162 kerusi (1964 sebanyak 241 kerusi), PMIP menguasai 40 kerusi (berbanding 25 pada tahun 1964), DAP 34 (1964 tidak bertanding peringkat DUN), PPP 12 (1964 menang 5), Gerakan 25 kerusi, Parti Rakyat 3 (1964 berada dalam Barisan Sosialis) dan bebas 3.
Keputusan PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 telah dilihat menghampiri keputusan pilihan raya 1969. Berdasarkan peningkatan pengaruh parti-parti pembangkang, pilihan raya umum 1969 telah mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Walau bagaimanapun, keputusan PRU ke-12 tidak berupaya mencetuskan perbalahan kaum tetapi sebaliknya meninggalkan kesan mendalam mengenai percubaan mengambil alih kerajaan daripada tampok kepimpinan BN.
"But then came March 8, 2008. In many ways, the results of the general election that gave five states to the opposition and pushed the ruling coalition into existential crisis, were a cry of desperation, and a last-ditch attemp by common Malaysians at stopping the divisive trend that the extended postponement of closure to May 13 had wrouht upon the body politic. ....A post-March 8 episode that has given due atttention by analysts occured on the night of April 14, when Anwar Ibrahim used the end of the suspension of his right to run for public office to give a fiery speech in Kampong Baru before a 20,000-crowd consisting largely of the Malays.
"He declared: "All of you will witness this tonight. We will not talk about Malay supremacy but the supremacy of all Malaysians. For non-Malays, for whom the mere mention of crowds in Kampung Baru immediately conjured images of the beginning of the May 13 riots of 1969, a message coming from the same place from a Malay leader talking to a Malay crowd, and calling for a more inclusive model of nation building, was greatly welcomed indeed. ..March 8 holds great potention for eclipsing May 13 and erasing the fears linked for so long to that spectral night in the sort but eventful history of Malaysia." (lihat, Ooi Kee Beng, Johan Saravanamuttu and Lee Hock Guan, March 8: Eclipsing May 13, Singapore: ISEAS, 2008, ms 3-4)
Saya tidak beranggapan seperti itu kerana secara keseluruhannya pada tahun 1969, Perikatan memperolehi 48.41 peratus sokongan pengundi peringkat Dewan Rakyat manakala Dewan Negeri ialah 47.95 berbanding tahun 2008, peringkat parlimen ialah 50.14 peratus dan negeri ialah 61 peratus. Cuma yang menyaksikan perubahan ketara ialah beralihnya kuasa politik di Selangor, P.Pinang, Perak (kemudiannya kembali kepada BN apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Dr. Zambry Menteri Besar Perak yang sah April, 2009) dan Kedah. Kelantan PAS semakin kuat apabila dan berjaya mengekalkan penguasaannya. Wilayah Persekutuan, dikuasai oleh pembangkang di peringkat parlimen (BN hanya menang di Wangsa Maju, Putrajaya dan Labuan).

Monday, June 8, 2009

Memorandum Perikatan

Bertarikh 27 September 1956, satu rombongan Perikatan telah menyerahkan satu memorandum yang dinamakan sebagai Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Rombongan Perikatan diketuai oleh YM Tunku Abdul Rahman dan disertai bersama Datuk Abdul Razak, Encik Mohammad Khir Johari, V.T. Sambanthan, Bong Pang Hwa, Ng Ek Tiong dan Ramanathan.
Memorandum tersebut mengandungi keputusan dan persetujuan bersama antara parti-parti yang mewakili tiga kaum terbesar yang bergabung dalam Perikatan. Berikut ialah beberapa petikan mengenai kandungan memorandum itu:
"Kami pihak Perikatan yang mengandungi tiga buah parti politik terbesar dalam Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaya (MCA) dan Malayan Indian Conggress (MIC) yang telah bercantum dalam satu pergerakan bernama Perikatan yang mempunyai tujuan yang suci hendak menuntut kemerdekaan dalam tempoh empat tahun.
"kami telah dipilih untuk memegang kuasa oleh pengundi-pengundi di dalam semua peringkat pilihan raya iaitu daripada majlis-majlis tempatan sehinggalah kepada Majlis Mesyuarat Persekutuan, dengan satu kejayaan cemerlang yang belum pernah berlaku di mana-mana pun. Oleh yang demikian, kami adalah parti yang mewakili bilangan yang terbesar sekali daripada penduduk-penduduk Persekutuan Tanah Melayu."
Antara kandungan Memorandum Perikatan yang dipersetujui bersama itu ialah mengenai perkara-perkara penting yang perlu dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu:
  • kuasa bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
  • Kuasa Pemerintahan.
  • kuasa kehakiman.
  • Pembahagian Kuasa Perundangan dan Pemerintahan Antara Kerajaan Persekutuan Dengan Kerajaan Negeri.
  • Kerajaan-kerajaan Negeri.
  • Hak Asasi.
  • Asas Bagi Dasar Kebangsaan.
  • Kebangsaan Yang Tunggal.
  • Hak Istimewa Bagi Orang-Orang Melayu.

Mengenai Hak Istimewa bagi Orang-orang Melayu, ketiga-tiga parti bersetuju " mengakui bahawasanya orang-orang Melayu itu ialah anak watan yang asli dan bahawa mereka itu mempunyai kedudukan yang khas terbit daripada keadaan yang tersebut, dan juga dengan kuatkuasa treaty yang telah dibuat di antara Kerajaan British dengan Negeri-negei Melayu yang berdaulat. Oleh yang demikian, Perlembagaan itu patutlah mengadakan syarat bahawa Yang Di Pertuan Agong itu patutlah mempunyai tanggungan yang khas bagi mengawalkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu itu.

"Maka menurut kehendak ini, Perlembagaan itu patutlah memberi kuasa-kuasa kepadanya pada menyimpankan dengan berpatutan banyaknya untuk orang-orang Melayu akan tanah-tanah, jawatan-jawatan di dalam perkhidmatan awam, permit-permit kerana menjalankan perniagaan atau perdagangan iaitu bagi permit-permit yang dihadkan dan dikawal oleh undang-undang, biasiswa-biasiswa kerajaan dan apa-apa jua kemudahan-kemudahan yang telah diberi oleh Kerajaan, tetapi mengikut kewajipannya yang lain lagi yang dikehendaki kerana menjaga kepentingan-kepentingan yang halal bagi kaum-kaum yang lain, maka Perlembagaan itu patutlah juga mengadakan syarat bahawa sebarang perbuatan kerana menjalankan kuasa-kuasa yang terbit itu maka tidaklah patut perbuatan-perbuatan itu melanggar akan kepentingan-kepentingan yang halal bagi kaum-kaum yang lain atau mencacatkan dengan banyaknya atau mengurangkan hak-hak dan peluang-peluang yang didapati oleh mereka pada masa sekarang."

Persetujuan mengenai asas itulah membolehkan Persekutuan Tanah Melayu diberikan tempoh untuk berunding mengenai kemerdekaan. Intipati persetujuan itu juga menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Perlembagaan Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak serta terkeluarnya Singapura pada tahun 1965.

Mengungkapkan persetujuan bukan bermakna untuk menghasut orang Melayu untuk mempertahankan haknya. Tetapi sekadar mengingatkan kepada bukan Melayu yang selalu mendesak supaya melupakan atau melupuskan sama sekali hak istimewa orang Melayu. Baik oleh pemimpin-pemimpin parti komponen BN sendiri mahupun parti-parti yang menggelarkan dirinya sebagai pakatan pembangkang.

permulaan dalam resah

ketika mencari sebuah perhentian, aku terasa begitu lelah sekali. Lelah bukan kerana berlari terlalu pantas dalam masa yang singkat, tetapi mengenangkan sikap sebahagian daripada kita.
Kita sebagai manusia kadangkala lupa mengenai apa yang pernah diterjemahkan oleh moyang kita. Kita diajar untuk melakukan yang terbaik dan tidak sesekali melakukan perkara yang terkutuk. Kita seringkali diingat, apabila berhasrat meninggalkan kampung halaman, supaya jaga diri dan tidak membuat onar di tempat orang. Ingatan itu jelas berpautkan peribahasa, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Nila setitik akan rosakkan susu sebelanga.
Memikirkan peristiwa dalam seminggu dua ini, aku terasa lemas. Lemas apabila ada orang cuba mengangkatkan perilaku yang berlawanan dengan apa yang pernah kita diberitahu dan dididik. Ada orang cuba mengangkat martabat orang yang salah sebagai orang benar dan seolah-olah tidak pernah melakukan kesilapan atau kesalahan.
Maka aku pun ikut tersinggung. Atas apa asas sekalipun, aku tetap menolak untuk melonggarkan atau melenturkan peraturan bahawa memberikan peluang orang yang membunuh atau melakukan kejahatan untuk hidup bersama lagi. Walaupun bunyinya agak berdendam, tetapi tidakkah kejahatannya selama ini telah menyebabkan kita berada dalam trauma?