Sunday, October 4, 2009

MARI KITA RENUNGKAN MUSIBAH YANG MELANDA

Memikirkan tentang musibah yang melanda Indonesia, kepulauan Samoa, Filipina dan Vietnam seminggu lalu menyebabkan kita semakin rasa kebesaran nikmat Allah SWT. Kita bersyukur kerana negara kita tidak berlaku musibah yang menyebabkan trauma sebagaimana pernah berlaku pada 26 Disember 2004 di negeri-negeri utara di Semenanjung atau Taufan Greg yang melanda Sabah sedikit masa dulu tatkala sedang menyambut Hari Natal.

Musibah yang melanda Jambi dan Padang cukup memberikan kita banyak penyesalan. Berdasarkan luahan beberapa orang pelajar kita yang berhadapan dengan karenah pihak bekuasa Indonesia, termasuk pihak imigresen dan peniaga di sana, jelas menggambarkan rasa kemanusiaan mereka nampaknya semakin rabak. Tatkala sebahagian pelajar kita terkapai-kapai mencari perlindungan dan kelaparan, mereka menahan lukah. Meminta bayaran proses passport yang keterlaluan sehingga 100,000 rupiah hanyalah dengan menghentak rubber stamp. Menjual air minuman berlipat ganda sehingga 10,000 rupiah sebotol.

Tapi, nasib baik kita tidak banyak melatah apabila sebelum musibah itu berlaku pelajar kita mengalami ketakutan yang bukan sedikit. Kumpulan yang memperjuangkan sentimen marahkan Malaysia kerana mengambil artifek budaya mereka, mengadakan sekatan dan sweeping di Jakarta. Sebelum itu, beberapa pihak termasuk media Indonesia menyebarkan sentimen kemarahan mengenai pencerobohan Malaysia ke atas Pulau Ambalat yang kaya dengan minyak dan gas.

Pendeknya hampir setiap masa ada sahaja perkara yang tidak harmoni antara Malaysia dengan Indonesia. Dari gaji pembantu rumah hinggalah kepada pengisytiharan batik sebagai hak tradisi Indonesia, dan kerana musibah yang melanda menyebabkan upacara menyambut pengisytiharan batik pada 2 Oktober 2009 tidak segera heboh. Mungkin telah dilakukan, tetapi tidak mendapat publisiti meluas berbanding tragedi yang menyebabkan lebih 1000 orang dikhuatiri terbunuh dan tertimbus, lebih 11,000 buah bangunan ranap dan 3 buah kampung luput dalam peta baru Indonesia, khususny Sumatera Barat.

Tahun 2004 adalah tahun yang menyebabkan Aceh menjadi berduka kerana dilanda Tsunami. Ribuan rakyatnya terkorban, dan berlakunya tragedi tersebut semacam tidak lagi kedengaran gerakan pembebasan Aceh melebarkan sayapnya. Mungkin penduduk yang masih trauma kerana kehilangan sanak saudara, harta benda dan sebagainya tidak lagi cuba menimbulkan pelbagai tuntutan. Mereka akan membina kehidupan baru yang lebih harmoni, dan melupakan sengketa.

TApi perkara ini mungkin tidak berlaku di Sodiarjo walaupun lebih 16 buah kampung tenggelam oleh banjir lumpur. Walaupun telah berlaku sejak tahun 2004, banjir lumpur itu masih belum menunjukkan akan berkakhir, dan lumpur masih membuak-buak. Sodiarjo menjadi tumpuan baru pelancongan, namun yang lebih menyedihkan apabila ada beberapa orang yang cuba membentangkan falsafah kebendaannya. Ada juga yang turut membuka tumpuan menjual dan menjaja angan-angan mendapat nombor bertuah, kerana bermimpi mendapat nombor.

Yang memberikan saya sedikit kelegaan ialah apabila semakin ramai dan banyak pihak di Malaysia menghulurkan simpati. Pihak kerajaan terus menyusun bantuan termasuk tiga pasukan :pencari dan penyelamat, para medik, dan lain-lain bagi membantu mangsa. Rakyat Malaysia, tanpa memikirkan rasa marah kerana diherdik, dicemoh dan dimarahi oleh segelintir rakyat Indonesia sedang giat mengumpulkan derma dan selepas ini, mungkin ada pernacngan untuk membantu membina rumah, sekolah dan sebagainya. Ini telah dilakukan ketika tsunami di Aceh.

Walau pun begitu, sesekali anak kecil turut melemparkan ingatan. Ketika di Kuala Lumpur Sentral, petang Khamis lalu, saya menjadi sedar betapa anak kecil yang berumur 6 tahun pun boleh mengomel. Dia mengomel apabila mendengar orang-orang dewasa bercakap mengenai tragedi di Jambi dan Padang, antaranya masing-masing menunjukkan gambar yang tersiar dalam akhbar tempatan.

Afiq, turut merasa simpati dan sedih mengenai tragedi itu. Sambil membisikkan kata-kata kesian, Afiq sesekali turut melahirkan rasa kesal kerana rakyat Indonesia tidak pernah bersimpati dengan Malaysia. Saya tidak dapat memindahkan cakap-cakapnya itu, tetapi hanyalah sekadar menyatakan kembali apa yang dirasai oleh Afiq. Afiq turut marah dengan sikap tidak rasional apabila ada kumpulan yang sweeping rakyat Malaysia.

Saya hanyalah berfikir, bagaimana Afiq boleh membuat penilaian sebegitu rupa. Afiq, pernah menonton siaran berita yang menggambarkan visual tersebut, dan melihatnya melalui akhbar. Afiq juga pernah mendengar, malah selalu diingatkan oleh guru tadikanya supaya berkelakuan baik sepanjang masa.

Menurut Afiq lagi, ustaz pernah mengajar bahawa Allah SWT akan membalas setiap kejahatan yang manusia lakukan. Allah SWT akan membalas bukan sahaja kepada orang yang melakukan kesalahan tersebut, seluruh masyarakat akan turut menerima hukumannya. Berdasarkan penjelasan Afiq itu, saya teringat apa yang pernah dikatakan oleh Mufti Perak apabila membincangkan mengenai Tragedi Highlands Towers beberapa tahun lalu. Ini bermakna, Afiq telah membina rangka rujukan dan pengetahuan peribadinya melalui pelbagai cara, dengan menonton, mendengar dan memerhatikan persekitaran. Dan, kerana itulah kita sebagai orang dewasa perlu menunjukkan teladan yang baik walaupun di depan anak kecil. Mereka akan memulangkan apa yang didengar, ditonton dan diperhatikan. Dan, ketika itu, mampukah kita menafikannya atau mematikan kata-katanya?

No comments:

Post a Comment