Monday, June 8, 2009

Memorandum Perikatan

Bertarikh 27 September 1956, satu rombongan Perikatan telah menyerahkan satu memorandum yang dinamakan sebagai Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid. Rombongan Perikatan diketuai oleh YM Tunku Abdul Rahman dan disertai bersama Datuk Abdul Razak, Encik Mohammad Khir Johari, V.T. Sambanthan, Bong Pang Hwa, Ng Ek Tiong dan Ramanathan.
Memorandum tersebut mengandungi keputusan dan persetujuan bersama antara parti-parti yang mewakili tiga kaum terbesar yang bergabung dalam Perikatan. Berikut ialah beberapa petikan mengenai kandungan memorandum itu:
"Kami pihak Perikatan yang mengandungi tiga buah parti politik terbesar dalam Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaya (MCA) dan Malayan Indian Conggress (MIC) yang telah bercantum dalam satu pergerakan bernama Perikatan yang mempunyai tujuan yang suci hendak menuntut kemerdekaan dalam tempoh empat tahun.
"kami telah dipilih untuk memegang kuasa oleh pengundi-pengundi di dalam semua peringkat pilihan raya iaitu daripada majlis-majlis tempatan sehinggalah kepada Majlis Mesyuarat Persekutuan, dengan satu kejayaan cemerlang yang belum pernah berlaku di mana-mana pun. Oleh yang demikian, kami adalah parti yang mewakili bilangan yang terbesar sekali daripada penduduk-penduduk Persekutuan Tanah Melayu."
Antara kandungan Memorandum Perikatan yang dipersetujui bersama itu ialah mengenai perkara-perkara penting yang perlu dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu:
  • kuasa bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
  • Kuasa Pemerintahan.
  • kuasa kehakiman.
  • Pembahagian Kuasa Perundangan dan Pemerintahan Antara Kerajaan Persekutuan Dengan Kerajaan Negeri.
  • Kerajaan-kerajaan Negeri.
  • Hak Asasi.
  • Asas Bagi Dasar Kebangsaan.
  • Kebangsaan Yang Tunggal.
  • Hak Istimewa Bagi Orang-Orang Melayu.

Mengenai Hak Istimewa bagi Orang-orang Melayu, ketiga-tiga parti bersetuju " mengakui bahawasanya orang-orang Melayu itu ialah anak watan yang asli dan bahawa mereka itu mempunyai kedudukan yang khas terbit daripada keadaan yang tersebut, dan juga dengan kuatkuasa treaty yang telah dibuat di antara Kerajaan British dengan Negeri-negei Melayu yang berdaulat. Oleh yang demikian, Perlembagaan itu patutlah mengadakan syarat bahawa Yang Di Pertuan Agong itu patutlah mempunyai tanggungan yang khas bagi mengawalkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu itu.

"Maka menurut kehendak ini, Perlembagaan itu patutlah memberi kuasa-kuasa kepadanya pada menyimpankan dengan berpatutan banyaknya untuk orang-orang Melayu akan tanah-tanah, jawatan-jawatan di dalam perkhidmatan awam, permit-permit kerana menjalankan perniagaan atau perdagangan iaitu bagi permit-permit yang dihadkan dan dikawal oleh undang-undang, biasiswa-biasiswa kerajaan dan apa-apa jua kemudahan-kemudahan yang telah diberi oleh Kerajaan, tetapi mengikut kewajipannya yang lain lagi yang dikehendaki kerana menjaga kepentingan-kepentingan yang halal bagi kaum-kaum yang lain, maka Perlembagaan itu patutlah juga mengadakan syarat bahawa sebarang perbuatan kerana menjalankan kuasa-kuasa yang terbit itu maka tidaklah patut perbuatan-perbuatan itu melanggar akan kepentingan-kepentingan yang halal bagi kaum-kaum yang lain atau mencacatkan dengan banyaknya atau mengurangkan hak-hak dan peluang-peluang yang didapati oleh mereka pada masa sekarang."

Persetujuan mengenai asas itulah membolehkan Persekutuan Tanah Melayu diberikan tempoh untuk berunding mengenai kemerdekaan. Intipati persetujuan itu juga menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Perlembagaan Malaysia setelah kemasukan Sabah dan Sarawak serta terkeluarnya Singapura pada tahun 1965.

Mengungkapkan persetujuan bukan bermakna untuk menghasut orang Melayu untuk mempertahankan haknya. Tetapi sekadar mengingatkan kepada bukan Melayu yang selalu mendesak supaya melupakan atau melupuskan sama sekali hak istimewa orang Melayu. Baik oleh pemimpin-pemimpin parti komponen BN sendiri mahupun parti-parti yang menggelarkan dirinya sebagai pakatan pembangkang.

No comments:

Post a Comment