ketika mencari sebuah perhentian, aku terasa begitu lelah sekali. Lelah bukan kerana berlari terlalu pantas dalam masa yang singkat, tetapi mengenangkan sikap sebahagian daripada kita.
Kita sebagai manusia kadangkala lupa mengenai apa yang pernah diterjemahkan oleh moyang kita. Kita diajar untuk melakukan yang terbaik dan tidak sesekali melakukan perkara yang terkutuk. Kita seringkali diingat, apabila berhasrat meninggalkan kampung halaman, supaya jaga diri dan tidak membuat onar di tempat orang. Ingatan itu jelas berpautkan peribahasa, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Nila setitik akan rosakkan susu sebelanga.
Memikirkan peristiwa dalam seminggu dua ini, aku terasa lemas. Lemas apabila ada orang cuba mengangkatkan perilaku yang berlawanan dengan apa yang pernah kita diberitahu dan dididik. Ada orang cuba mengangkat martabat orang yang salah sebagai orang benar dan seolah-olah tidak pernah melakukan kesilapan atau kesalahan.
Maka aku pun ikut tersinggung. Atas apa asas sekalipun, aku tetap menolak untuk melonggarkan atau melenturkan peraturan bahawa memberikan peluang orang yang membunuh atau melakukan kejahatan untuk hidup bersama lagi. Walaupun bunyinya agak berdendam, tetapi tidakkah kejahatannya selama ini telah menyebabkan kita berada dalam trauma?

No comments:
Post a Comment